Happy Together..

Assalamualaikum..Ahlan wasahlan...


Kepada sahabat andai, pengunjung2, yang sudi mengunjungi blog yang tak seberapa ini. Dengan harapan, agar blog ini, dapat memberi manafaat, ilmu yang berguna dan diredhai oleh yang maha Esa.

Tidak ku lupakan, kepada Suami yang sentiasa berada di sisi, menjadi tunjang belakang dalam perjalanan ini.... dan kepada Danial dan Luqman, Ibu amat menyayangi kalian berdua. Semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati kalian dan menjadikan kamu Insan yang berguna didunia ini dan Ibu sentiasa mendoakan apa yang terbaik buat kamu dalam mengharungi arus hidup ini.


Ya Allah, aku amat bersyukur kehadirat Mu dengan memberi kesempatan kepada diriku yang hina ini untuk menarik nafas dalam setiap hujung kehidupan ini. selawat dan salam keatas Nabi S.A.W dan para sahabat bahginda.

Monday, November 9, 2009

Fitnah Dan Adat Perjuangan

Siapa tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fekah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini.

Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang telah mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.


- Prof Hamka

Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir, atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh.

Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencana ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang.

Demikian Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservertif Tanah Melayu dengan tuduhan ‘kaum muda’ dan ‘wahabi’. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki, atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.

Al-Imam Al-Bukhari

Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli.

Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara.

Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Prof Hamka

Kembali kita kepada kisah Prof Hamka. Ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan beliau dan ayahnya Haji Rasul. Pernah dituduh kafir, sesat, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi. Ini adalah resam kelompok yang menjaga kepentingan mereka, bimbangkan gerakan pembaharuan. Mereka bimbangkan kedudukan, aliran, jawatan, kepentingan dan pengaruh mereka hilang.


- Buku ‘Ayahku’ karangan Prof Hamka

Saya cadangkan pembaca membaca buku karangan Prof Hamka yang sekarang sudah ada di pasaran kita yang berjudul ‘Ayahku’. Antara dalam buku berkenaan Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu.

Hamka memetik kata-kata ayahnya:

“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.

Seterusnya Prof Hamka mengulas:

“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i. (m.s 160).

Prof Hamka menceritakan:

“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (m.s. 162).

Hasil perjuangan gerakan yang dituduh ‘kaum muda’ itulah yang membebaskan kejumudan pemikiran, kezaliman terhadap wanita oleh mahkamah syariah di Indonesia ketika itu. Dalam buku berkenaan Hamka telah menceritakan kesempitan pandangan golongan agama yang jumud sehingga menyiksa wanita dalam kes-kes penceraian.

Di bawah tajuk Nikah Si Kani (m.s. 171), Prof Hamka menceritakan perjuangan mereka menghadapi golongan pemikiran sempit. Namun, adat pejuang berbagai tuduhan dan fitnah dihadapi oleh ayahnya dan perjuangan mereka. Kalimat ‘wahabi, kaum muda, keluar mazhab, sesat, kafir dan berbagai lagi menjadi mainan ulama-ulama ‘lama’ ketika itu dalam menghadapi gerakan tajdid dan pembaharuan oleh Prof Hamka dan ayahnya.

Bacalah!

Bacalah buku-buku perjuangan dan pengorbanan, ia akan memberikan rangsangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin meneruskan agenda dakwah dan pembaharuan umat. Sebab itu al-Quran mengubati perasaan Nabi s.a.w dengan kisah-kisah silam yang dapat menyedarkan tentang harga pengorbanan yang wajib dibayar dalam meneruskan agenda perubahan.

Firman Allah:

(maksudnya) Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.Dan demi sesungguhnya, rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu. Dan jika perbuatan berpaling mereka (keingkaran mereka) itu terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil”. (Surah al-An’am, ayat 33-35).

Pertentangan akan berlaku, sudah pasti, para nabi pun tidak dapat mengelakkannya, namun perjuangan akan terus berlangsung di setiap zaman. Tiada siapa yang dapat mengubah tabiat sejarah, tetapi kita boleh memilih dalam sejarah siapa yang ingin kita berpihak!

Oleh : Dr Asri Zainul Abidin

Misteri Wahabi Di Malaysia

(Gambar Hiasan)
Perkataan ‘wahhabi’ dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran yang lebih moden atau tafsiran yang agak ‘western influence’. Clinton Bennet memasukkan ‘wahhabis’ dan deobandis dibawah kelompok ‘traditionalists’ yang bererti sekaligus berada di bawah aliran ‘fundamentalist’ (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat wahhabi sebagai aliran yang menganggap ‘hanya Islam agama yang benar’, wajib menegakkan ‘Islamic State’, adanya ‘jihad’ menentang kuffar dan lain-lain ciri-ciri yang dianggap unsur ‘padang pasir’ sekaligus cuba dikaitkan dengan terrorism.

Di Malaysia pula, perkataan ‘wahhabi’ adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau menfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham. Bagi mereka, itu adalah senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: “siapa tak setuju dengan saya dia wahhabi”. Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: “apa itu wahhabi?”. Jawab tok imam: “Siapa yang mengkritik ustaz dia wahhabi”. Maka tidaklah berani lagi ‘penasihat’ itu berbeza pandangan dengan ‘tok imam’ dan mempertikaikan ‘infallibility’ ustaz, takut jadi wahhabi.

Di sesetengah tempat seseorang dituduh wahhabi kerana menentang amalan-amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat. Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar ‘ustaz’, bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka ‘sang ustaz’ itu dengan mudahnya akan menyebut: ‘awak wahhabi’.


- Gambar Hiasan

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh wahhabi. Padahal kitab melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya”. Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendir, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata ‘awak wahhabi’.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam. Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk ‘bisnes’ mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan ‘kartun’ dan ‘lucu’. Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya ‘awak wahhabi’. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin ‘Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu wahhabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai wahhabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau. Nama sultan akan digunakan.

Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat. Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: “ini lebih bahaya kerana wahhabi”. Apa itu wahhabi? Jawab mereka wahhabi itu wahhabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia ‘aliran pengkafir umat’ yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah wahhabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafi’i. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu wahhabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas.

Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi:

“Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum , m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah ‘mereka ini’ apabila menjadi ‘penasihat-penasihat’ bank, bagi memenuhi keperluan bank-bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan-pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab. Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan-pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal ‘sesetengah mereka ini’ di luar mesyuarat bank yang ber‘elaun’ itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah wahhabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai ‘wahhabi’. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan padangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai wahhabi. Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok wahhabism.

Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu wahhabi dan sesat, yang tertutup itulah yang ‘membolot segala kebenaran’. Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan ‘pereputan’ kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalisn vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang. Bagi saya, bukan isu wahhabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat ‘kedudukan’ seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mensyuarat itu sebagai ‘bank mazhab wahhabi’.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua ‘occomodation or resistance’. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh wahhabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap wahhabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain wahhabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.


By : Dr Asri Zainul Abidin

Monday, October 5, 2009

Hitler Itu Mungkin Ada Benarnya


Ketika saya menulis rencana ini (pada Hari Sabtu) saya sedang berada di Osnabruck, Jerman. Pada Hari Jumaat semalam saya memberikan ceramah ringkas di sebuah masjid di sini yang diberi nama Masjid Ibrahim. Kebanyakan ahli jemaahnya merupakan orang Arab.

Saya berucap dalam bahasa arab mengenai isu semasa umat Islam sekarang khususnya Palestin. Imamnya yang berasal dari Syria berkhutbah dengan berani dan bersemangat tentang isu Gaza. Bahkan beliau berkempen agar ahli jamaahnya menyertai demonstrasi aman membantah kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Saya melihat satu keperluan apa yang beliau kempenkan, sebab di Berlin telah dibuat demonstrasi besar menyokong tindakan Israel. Malanglah jika ada masjid di Malaysia yang tidak berani mengutuk Israel. Hari ini (Ahad) saya bercadang hendak ke Berlin untuk berjumpa dengan beberapa pihak.

Ini adalah kali pertama saya sampai ke Jerman. Semasa kecil apa yang saya tahu mengenai Jerman iaitu tenteranya di pihak yang jahat berperang melawan hero-hero Amerika. Ini semua adalah pengaruh filem ‘Combat’ semasa zaman tersebut.

Oleh kerana Amerika yang menerbitkan siri ‘Combat’ tersebut, maka digambarkan merekalah di pihak yang benar dan Jerman di pihak yang jahat. Alasan kejahatan tidak diketahui melainkan kerana hero yang ditabalkan berada di pihak tentera Amerika.

Demikianlah cara sesebuah filem mempengaruhi minda manusia, terutama kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah serta terdedah kepada bahan bacaan yang berbagai, nama Adolf Hitler dan puak ‘Nazi’nya agak sinonim dengan Jerman di lintasan minda setiap kali perkataan Jerman itu disebut. Selain itu, tidak banyak maklumat tambahan tentang Jerman yang saya baca.

Sebelum saya sampai ke Jerman, seminggu lepas saya menghabiskan buku yang ditulis oleh Seymour Rossel yang bertajuk The Holocaust. Sebagai Yahudi, beliau memang membela Yahudi dan mengutuk Hitler habis-habisan. Beliau mengutip maklumat daripada Encyclopedia Judia mendakwa bahawa Nazi telah membunuh sebanyak 5,820,960 Yahudi terutama Yahudi Poland dan Rusia.

Saya tidak pasti sejauh manakah benar angka tersebut. Tapi yang pasti memang Hitler ialah seorang diktator yang sangat kejam. Membunuh dengan zalimnya bukan sahaja Yahudi, tetapi juga sesiapa sahaja yang menentangnya. Cara pembunuhannya juga begitu sistematik bagaikan kilang perusahaan yang teratur. Kekejaman itu tidak dapat diterima oleh sesiapa pun. Di Jerman sehingga hari ini kekejaman itu dikutuk oleh rakyat negaranya.

Namun, di samping kekejaman yang disandarkan kepada Adolf Hitler, persoalan yang patut ditanya, mengapakah kempen Adolf Hitler bahawa Yahudi adalah bangsa yang bahaya, telah merosak dan mengancam Jerman, mendapat sambutan ketika itu?

Ketika Hitler baru cuba muncul dalam politik Jerman pada tahun 1919, walaupun beliau seorang pemidato yang baik, beliau belum terkenal dan hanya beberapa orang sahaja yang hadir mendengar ucapannya. Namun selepas itu, apabila beliau membangkitkan dalam ucapan-ucapannya isu anti-semitic atau anti Yahudi, rakyat Jerman mula membanjiri ucapannya dan menyokong gerakannya membenci Yahudi.

Apabila Hitler dipenjarakan pada tahun 1923 selama sembilan bulan, beliau menulis bukunya yang terkenal Mein Kampf. Sejak awal penulisan buku tersebut, Hitler menegaskan bahawa penderitaan ekonomi yang dihadapi oleh bangsa Jerman yang ketika itu adalah berpunca dari kejahatan Yahudi. Perasaan kebencian terhadap Yahudi dihidupkan dalam buku tersebut.

Sebenarnya, Hitler bukanlah orang memulakan kepercayaan bahawa Yahudi adalah bangsa perosak. Pada 1542, pemimpin agung Prostestan Jerman, Martin Luther telah menulis tentang pembohongan dan kemerbahayaan Yahudi dalam bukunya Against The Jews And Their Lies. Pada kurun yang ke-14, Sepanyol dan Portugal memaksa masyarakat Yahudi hidup secara terpisah dari bukan Yahudi.

Pada 1516, di Venice, Itali, pihak Gereja Katholik memerintah agar dibina tembok mengelilingi penempatan Yahudi yang dinamakan dengan Ghetto. Yahudi tidak benarkan keluar pada waktu malam sehingga menjelang fajar. Masyarakat awam Kristian ketika itu percaya bahawa Yahudi adalah bangsa yang jahat dan beramal dengan ilmu hitam.

Pembinaan ghetto kemudiannya telah berkembang ke seluruh Eropah. Maka Yahudi Eropah dikepung disebalik tembok ghetto, atau pekan-pekan khas hanya untuk mereka. Mengapakah masyarakat Eropah ketika itu bersepakat mempercayai Yahudi adalah kaum yang jahat? Jawapannya, samada kepercayaan itu adalah khurafat, atau mereka mempunyai asas pengalaman dengan Bangsa Yahudi. Jikalau jawapannya yang pertama, Yahudi adalah memang bangsa yang teraniaya.

Jika jawapannya, Yahudi memang dalam sejarahnya telah merosakkan kehidupan manusia sehingga menjadi ketakutan kepada masyarakat Eropah, tindakan kejam atau rakus Adolf Hitler, sekalipun kejam dan tidak dapat diterima, namun ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah kemerbahayaan Yahudi kepada masyarakat Eropah khususnya dan dunia amnya.

Apapun ceritanya, kesangsian pihak pihak Gereja Kristian telah lama berakar umbi, sehinggalah Yahudi kembali menipu Eropah pada hari ini. Lalu undang-undang Anti-Semitic dikuatkuasakan di Eropah, maka bangsa Yahudi mendapat kekebalannya di sini, terutama di Jerman ini.

Jika lihat dalam sejarah Islam, di samping menyedari tentang tabiat Yahudi, namun Islam tidak pernah menghukum mereka hanya kerana mereka Yahudi, tetapi menghukum berdasarkan tindakan mereka. Nabi s.a.w pernah mengizinkan mereka terus menetap di Khaibar yang subur. Namun mereka khianat, merancang dengan pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan Nabi s.a.w. Maka mereka pun diusir.

Pada zaman Khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab, beliau telah memberikan kepada Yahudi penempatan dan keamanan di Alia, Palestin. Kebebasan beragama dan hidup diberikan dengan jelas serta termaktub dalam pengistiharan khalifah agung tersebut. Namun, seperti biasa, Yahudi terus khianat.

Sejarah pengkhianatan Yahudi bukan bermula sejak kemunculan pemikiran zionisme, tetapi sejak lama dahulu. Sejak kisah mereka dengan para nabi yang mengalami berbagai tragedi disebabkan kerenah mereka. Pun begitu, Islam tidaklah pula menghukum secara ‘borong’ dengan menyatakan setiap individu yahudi itu jahat.

Bahkan dalam sirah Nabi s.a.w, isteri baginda Safiyyah binti Huyyai merupakan anak ketua Kabilah Yahudi Bani Quraizah. Ada sahabah yang mulia bernama ‘Abd Allah bin Salam. Beliau seorang yahudi, bahkan tokoh agamawan besar Yahudi. Beliau menganut Islam dan amat dihormati. Islam amat adil dalam menilai, tidak ditanggung dosa orang lain atas bahu orang lain.

Maka walaupun secara umumnya, rekod Yahudi memanglah buruk, namun ini tidak menafikan kemungkinan adanya mereka yang baik di kalangan Yahudi. Tetapi rekod Yahudi secara umum, memanglah buruk.

Ini diakui oleh Abd Allah bin Salam sendiri ketika beliau menganut Islam. Katanya:

“Wahai Rasulullah! Kaum Yahudi adalah puak yang paling kuat berdusta. Mereka jika tahu aku menganut Islam mereka akan menuduhku bukan-bukan. Sembunyikanlah aku di sisi engkau dan hantarlah orang bertanya pendapat mereka mengenaiku”. Maka Rasulullah pun menyembunyikannya dan menghantar orang memanggil golongan Yahudi lalu mereka pun datang. Rasulullah s.a.w bertanya mereka: “Apakah kedudukan Abdullah bin Salam pada pandangan kamu?” Jawab mereka: “Dia orang yang terbaik di kalangan kami, anak orang terbaik. Pemimpin kami, anak pemimpin kami. Ulama kami, anak ulama kami”. Sabda Rasulullah: “Apakah jika dia menganut Islam, kamu akan turut menganut Islam?”. Jawab mereka: “Allah lindunginya dari perkara tersebut”. Sabda Rasulullah: “Wahai Abdulullah bin Salam, keluar dan beritahulah kepada mereka”. Abdullah bin Salam pun keluar dan berkata: “Aku menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah”. Lantas mereka berkata: “Dia orang yang paling jahat di kalangan kami, anak orang yang paling jahat. Orang yang paling jahil di kalangan kami dan anak orang paling jahil”. Kata Abdullah bin Salam: “Aku telah beritahu wahai Rasulullah! Bahawa Yahudi adalah kaum yang kuat berdusta”. (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari).

Kita bukan anti kaum tertentu, atau anti-semitic secara membabi buta seperti Hitler atau masyarakat Eropah dahulu. Namun jika kita melihat Yahudi Israel hari ini mengkhianati perjanjian atau bersikap jahat, itu bukanlah perkara baru dan pelik untuk mereka kerjakan. Kepercayaan Hitler itu, mungkin ada benarnya..

By. Dr Asri Zainul Abidin

Thursday, October 1, 2009

Jangan Bantu Syaitan Rosakkan Saudaramu

Arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya. Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan. Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali.

Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).

Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatahlagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).

Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan. Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat. Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar.


- gambar hiasan

Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum. Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya. Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”. Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi.

Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan. Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan. Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Hudud

Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini. Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama.

Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya. Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya?

Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia. Untuk melihat hudud secara lebih luas dan tidak fanatik mazhab atau pandangan tertentu, karya Mohamed S. El-Awa, Punishment In Islamic Law antara yang baik untuk dibaca di zaman kini.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi).

Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut:

“Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.

Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud. Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Suasana

Ada beberapa email yang menarik perhatian saya mengenai hukuman arak di Pahang itu. Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan? Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat.

Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan saya yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”. Berbagai lagi sungutan yang lain.


- gambar hiasan

Memang itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau seragam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang. Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina.

Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.

Perjuangan penting para pendakwah Islam masakini adalah memberikan pendidikan dan kefahaman yang jitu mengenai Islam. Generasi kini terdedah kepada berbagai perkara. Sudah banyak email saya terima daripada anak-anak muda melayu yang bukan sahaja tidak percayakan Islam, bahkan meragui kewujudan Tuhan.

Inilah epidemic yang sedang meningkat dalam dunia ini iaitu atheism yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, atau seperti pelakon Brad Pitt yang tidak dapat membuat keputusan Tuhan wujud atau tidak yang disebut sebagai agnosticism. Mereka ini sedang memenuhi Dunia Barat hari ini dengan peningkatan yang menakjubkan.

Laman-laman web mereka mengganggu minda sebahagian orang Islam yang tidak terdedah kepada Islam yang berteraskan hujah dan fakta. Hanya sekadar pernah mendengar ceramah kartun dan lawak oleh sesetengah penceramah. Ceramah atau pengajaran agama yang tidak memenuhi piawaian cabaran zaman kini akan gagal menyelamatkan generasi kita.

Ya, kita mahu Islam, kita mahu suasana Islam dan kita mahu hukum berteraskan Islam. Namun itu semua tidak boleh dicapai dengan mudah, memerlukan pengembelingan tenaga yang serasi dengan suasana kita. Pemerintah dan rakyat hendaklah ada kesungguhan. Islam yang hendak ditonjolkan hendaklah membawa kepada sangkaan baik manusia terhadap Allah dan RasulNya, bukan mengelirukan mereka. Bak kata Nabi s.a.w: “Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu”.

By Dr. Asri Zainul Abidin

Jangan Lebih Lajak Dari Laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadang-kala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi.

Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi s.a.w:

“Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang.

Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus. Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa Pahala

Hanya Allah dan rasulNya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli nereka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu.

Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah. Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa.

Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain.

Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me’neraka’ seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me‘neraka’kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan. Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah.

Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan RasulNya?. Tidakkah Rasulullah s.a.w sendiri bersabda:

“Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).


- Gambar Hiasan

Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasulNya. Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya.

Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasulNya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah s.a.w melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan ‘terlebih lajak daripada laju’.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seeorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian.

Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda :

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

bankruptfinal.jpg
- Gambar Hiasan

Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Rahsia

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya.

Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang-orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan nereka oleh Allah dan rasulNya seperti Iblis, syaitan, Fir’aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasulNya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya.

Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat redha, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

By Dr. Asri Zainul Abidin

Monday, August 31, 2009

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

  1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

    “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

    (at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).

  2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

    “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

    (Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

    Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

    “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

    (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.

  3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

    “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    Riwayat di atas juga menambah:

    Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

    (An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

    Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

    “Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

    (al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

    Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

    Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

    “Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

    (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).

  4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

    Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

    (Surah al-`Araf:31).

    Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

    “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

    (Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

    Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.

  5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

    “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

    (Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

    Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

    ”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

    (Faidh al-Qadir, 2/500).

    Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

    “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

    (Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

    Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.

  6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

    “Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

    (Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.


By Dr. Asri Zainul Abidin

Sunday, July 5, 2009

Hadis Palsu Rejab, Syaaban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.

Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).

“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.

Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Mendengar

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.

Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”

Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).

Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).

Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.

Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.

Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Ibadat

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.

Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

Hadith Rejab Bulan Allah, Sya’ban Bulan Nabi

By. Dr Asri